fbpx

Kastam gerakkan jentera capai kutipan RM67.25 bilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anis Rizana berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-43 Tahun 2025 di PICC, Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan sasaran kutipan hasil bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak RM67.25 bilion bagi tahun 2025.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, bermula awal tahun ini, pihaknya menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan sasaran kutipan hasil pada tahun ini dapat dicapai.

“Sebagaimana kejayaan yang dicapai tahun lalu, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2025 ini,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-43 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada 9 Januari lalu, Kosmo! melaporkan JKDM merekodkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM65.67 bilion pada 2024 iaitu peningkatan 18.85 peratus berbanding RM55.17 bilion pada tahun sebelumnya.

Anis Rizana berkata, sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan undang-undang, JKDM berjaya menggagalkan 7,215 kes cubaan penyeludupan sepanjang 2024 dengan nilai rampasan dan cukai mencecah RM1.644 bilion.

Jelasnya, untuk perbandingan pada 2023, jumlah nilai rampasan dan cukai terkorban berjumlah RM884.27 juta sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM759.73 juta atau 85.92 peratus.

“Pada 23 Ogos lalu, kejayaan besar dicapai JKDM melibatkan rampasan 17 buah kontena dengan muatan rokok berjumlah 150.26 juta batang dan 30 tan tembakau serta 35.13 tan sisa plastik bernilai RM118.16 juta.

“Rampasan ini merupakan rampasan terbesar oleh JKDM sepanjang tahun 2024,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI