LIPIS – Seorang lelaki yang hilang ketika mandi bersama abangnya di Sungai Lipis dekat Kampung Badang, Batu Talam di sini Selasa lalu akhirnya ditemukan lemas hari ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, jasad Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, ditemukan tertimbus di dasar sungai pada pukul 1 tengah hari.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin melakukan pencarian dengan menggunakan teknik ‘water surface rescue’ dan ‘skin dive’ di lokasi.
“Pasukan penyelamat menemukan mangsa yang tertimbus dengan pasir di dasar sungai pada jarak satu kilometer dari kawasan mangsa dikhuatiri lemas.
“Mangsa dinaikkan ke darat pada pukul 1.25 tengah hari dan mayatnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raub,” katanya hari ini.
Pada Selasa lalu, Kosmo! melaporkan kegembiraan enam sekawan termasuk tiga beradik mandi-manda di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang dibawa arus.
Ketika kejadian, Allahyarham Ahmad Khairul Nizam bersama abang, adik serta tiga rakannya pergi ke sungai tersebut pada pukul 3 petang untuk mandi-manda.
Namun Ahmad Khairul Nizam bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ikhwan dipercayai lemas sebelum hanyut dibawa arus sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE