Pastinya ramai yang tidak menyedari bahawa minyak zaitun yang diamalkan selama ini adalah asli dan tulen atau palsu kerana tiada maklumat serta kajian lengkap tentang minyak tersebut disebarkan kepada pengguna selama ini.
Untuk makluman, minyak zaitun yang boleh diminum terdiri daripada minyak perahan dara atau extra virgin oil (EVOO) dan juga virgin olive oil (VOO) yang mana setiap jenama minyak zaitun yang dihasilkan perlu melalui ujian bagi menentukan gred dan kualiti oleh Minyak Zaitun Antarabangsa (IOC) bagi mengeluarkan sijil organoleptik dan sijil analisis kimia sebelum ia dijual di pasaran semasa.
Bersandarkan minat dan kajian yang mendalam tentang minyak zaitun yang asli untuk memberi manfaat kesihatan kepada pengguna, Olive Jardin Sdn. Bhd. (Olive Jardine) yang berpangkalan di Kota Bharu telah memulakan inisiatif dan pelbagai program sejak setahun lalu untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang produk keluarannya, Zouitina Prestige yang selamat untuk diminum.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Shakir As- Salam Ya berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan pemain lain dalam industri ini yang menyalahgunakan label EVOO untuk minyak zaitun gred rendah seperti Lampante.
“Kami mengajak semua pengedar minyak zaitun yang lain di negara ini bersama-sama memastikan produk minyak zaitun yang diedarkan mematuhi piawaian IOC bagi memastikan pengguna mendapat manfaat kesihatan yang sebaiknya,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang Olive Jardine dan peranan syarikat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang EVOO yang asli?
Muhd Shakir: Kami mula beroperasi pada tahun 2022 dan menawarkan produk kebanggaan kami iaitu Zouitina Prestige minyak zaitun perahan dara yang pertama di negara ini yang dihasilkan daripada buah zaitun tuaian pertama dengan memiliki bau, aroma dan rasa yang sangat unik berbanding minyak zaitun yang sama di pasaran.
Produk ini dihasilkan daripada sebuah syarikat yang mengusahakan tanaman zaitun seluas lebih 3,000 hektar dan ia juga pengilang minyak zaitun di Maghribi.
Kami telah memeterai perjanjian kontrak pembekalan dengan syarikat Zouitina bagi memastikan hasil tuaian tersebut dan produk yang dikeluarkan hanya untuk syarikat kami. Ladang tersebut mematuhi piawaian pertanian berstatus Global GAP (amalan pertanian baik).
Berapa lama Muhd Shakir mendalami tentang tanaman dan minyak zaitun?
Saya adalah bekas pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Maghribi dan sejak tahun 2017 saya sudah mula mencari penanam dan pengilang minyak zaitun berkualiti tinggi di sana.
Pada tahun 2021, saya berjaya bertemu dengan kilang Zouitina dan setahun selepas itu, saya mula memasarkan produk minyak zaitun ini di pasaran tempatan.
Perkara utama yang perlu diutamakan sekarang adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang minyak zaitun EVOO yang asli sekali gus ia dapat meningkatkan jualan.
Boleh jelaskan tentang pasaran minyak zaitun perahan dara di negara ini, adakah wujudnya lambakan produk palsu minyak zaitun?
Setiap tahun, hanya terdapat tiga juta metrik tan minyak perahan dara setiap tahun dihasilkan oleh negara-negara pengeluarnya seperti Itali, Sepanyol, Maghribi, Turkiye dan Greece.
Daripada tiga juta metrik tan itu, 80 peratus keluaran digunakan oleh penduduk dari negara pengeluar berkenaan dan bakinya 20 peratus yang mewakili kira-kira 200,000 metrik tan dijual di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat, China dan juga ke Malaysia.
Memandangkan negara kita tidak memiliki pengalaman meluas dalam bidang penanaman zaitun dan pengeluaran minyaknya, maka risiko berlakunya pemalsuan minyak zaitun adalah tinggi.
Banyak usahawan yang terlibat dalam industri ini pernah belajar di negara-negara pengeluar tersebut seperti Turkiye dan Maghribi tetapi sehingga kini, tiada program khusus ditawarkan untuk mereka mendalami tentang minyak zaitun.
Jadi, pengguna runcit pastinya mudah diperdaya dan ditipu oleh promosi berhubung khasiat EVOO lantas membelinya tanpa menyedari sama ada ia adalah EVOO atau lampante olive oil (LOO) iaitu minyak zaitun yang tidak selamat untuk dimakan.
Apakah perbezaan antara EVOO dengan minyak yang sama di pasaran semasa?
Minyak zaitun yang boleh dimakan terdiri daripada EVOO dan juga virgin olive oil (VOO). EVOO sepatutnya berbau buah zaitun tetapi kita sendiri tidak ada pengalaman melihat dan merasai sendiri buah tersebut, jadi saya tafsirkan di sini ia adalah seperti bau daun inai, jambu batu atau bau rumput yang dipotong di waktu pagi, bau minyak tersebut tidak boleh disintetikkan.
Lebih meyakinkan pengguna, setiap kali selepas musim tuaian, minyak tersebut akan jalani ujian organoleptik dan analisis kimia oleh makmal antarabangsa (Makmal Tello di Sepanyol) yang diiktiraf oleh Majlis Zaitun Antarabangsa (IOC).
IOC adalah badan yang menyelaras aspek kualiti minyak zaitun dalam negara pengeluar dengan mengkelaskan kualiti dan perbezaan antara EVOO, VOO atau LOO. Ia juga menafsirkan bahawa EVOO sebagai yang paling berkualiti, diikuti oleh VOO dan LOO adalah minyak zaitun yang tidak selamat untuk dimakan.
Bagi menentu gred tersebut, IOC akan mengadakan ujian utama melalui penilaian sensori dan analisis kimia. Oleh itu, dengan adanya pengkelasan gred minyak zaitun tersebut, maka sepatutnya syarikat lain dalam industri ini perlulah bertanggungjawab melabelkan minyak zaitun berdasarkan panduan berkenaan.
Boleh jelaskan tentang tuaian buah zaitun untuk mendapatkan EVOO?
Buah zaitun hanya boleh dituai sekali dalam setahun dan ia berlaku pada minggu pertama dalam bulan November.
Pastinya kami akan berada di sana untuk memastikan proses tuaian berjalan lancar. Selalunya tuaian dibuat secara manual pada waktu pagi dan hanya dibuat dalam tempoh 15 hari.
Ia diproses menggunakan teknologi pemprosesan terkini dalam masa yang singkat iaitu dalam tempoh enam jam bagi menghasilkan minyak zaitun yang mempunyai aroma bau dan ringan untuk diminum.
Berapa jualan produk Zouitina Prestige sehingga kini?
Tahun lepas kami memiliki stok minyak zaitun sebanyak 1,200 botol dan tahun ini , kami ada peruntukkan sebanyak 1,700 botol.
Kami yakin sasaran jualan tersebut akan dapat dicapai pada tahun ini kerana kesedaran masyarakat tentang manfaat EVOO semakin meningkat.
Kami juga secara berterusan ‘turun padang’ untuk berjumpa dengan pelbagai pihak, kumpulan sasaran untuk memberi penerangan tentang minyak zaitun perahan dara yang tulen dan manfaatnya kepada tahap kesihatan pengguna. Harga jualan pula adalah berpatutan iaitu RM99 sebotol.
Apa perancangan masa depan syarikat?
Buat masa sekarang kami memiliki 100 ejen yang bergerak aktif mempromosikan dan meningkat kesedaran tentang EVOO dan manfaat kepada kesihatan.
Kami bercadang untuk menambah kepada 200 ejen pada tahun ini, jumlah ini mencukupi untukmemenuhi permintaan pasaran. Kami juga mahu mengeluarkan produk minyak zaitun yang boleh digunakan untuk masakan. -KOSMO! ONLINE