PUTRAJAYA – Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kehancuran di bumi Gaza yang mencatatkan kerugian sekitar AS$100 bilion.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, kerajaan Israel mesti memberikan pampasan terhadap kerosakan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula Gaza harus dimulakan dengan dana ini.
“Israel dan kerajaan Netanyahu mesti bertanggungjawab atas kehancuran ini. Setiap kemusnahan yang tidak diberikan pampasan hanya akan menjadikan pelakunya semakin ganas.
“Setelah menyebabkan begitu banyak kehancuran, penderitaan dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Erdogan merakamkan penghargaan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Saya berharap kepimpinan Malaysia dalam tempoh ini akan menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan hubungan antara negara kita dan ASEAN.
“Kami sentiasa bertindak dalam solidariti penuh dengan Malaysia dalam banyak isu, terutama yang melibatkan dunia Islam. Saya amat menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan rakyat Palestin.
“Saya juga menyambut baik pendirian teguh Malaysia dalam memerangi Islamofobia,” katanya. – KOSMO! ONLINE