fbpx

Gubal RUU atasi masalah pencemaran plastik seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi melihat operasi Mobula 8 di Pulau Indah Marina, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KLANG – Kerajaan akan mengubal Rang Undang-Undang (RUU) menyeluruh bagi menangani pemasalahan plastik di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana undang-undang atau peraturan sedia ada banyak bergantung di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan rekod mendapati setiap rakyat negara ini menyumbang kepada 2.4 kilogram pembuangan atau pencemaran plastik.

“Walaupun Malaysia bukan negara yang besar, namun kita antara lima negara dengan pencemaran plastik tertinggi di dunia yang menyumbangkan kepada masalah kesihatan, banjir kilat dan lain-lain.

“Jadi sebab itu kita sedang lihat dalam RMK13 sama ada kita boleh ada satu perundangan di peringkat nasional bagi mengatasi pencemaran plastik ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kapal pengutip sampah, Mobula 8 di Pulau Indah Marina, hari ini.

Menurut Nik Nazmi, dasar perundangan berkaitan plastik ini juga tidak seragam dan menyeluruh susulan turut bergantung kepada inisiatif kerajaan negeri dan korporat.

“Kalau tengok Selangor dan Pulau Pinang sudah agak ke depan selain Kuala Lumpur serta Sabah pun sudah mula (dalam atasi masalah plastik).

“Namun banyak tempat belum ada sebarang inisiatif. Kita juga lihat inisiatif di peringkat korporat misalnya ada rangkaian pasar raya yang sendiri perkenalkan dasar tiada plastik. Tetapi dia tidak seragam dan tidak satu dasar menyeluruh,” katanya.

Mengulas mengenai Mobula 8, beliau berkata, ia merupakan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Switzerland iaitu The SeaCleaners kepada Yayasan Penyelidikan Marin di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kita harap ia secara langsung dapat menimbulkan kesedaran dan meningkatkan momentum rakyat kita ke arah mengatasi masalah plastik belenggu negara selama ini.

“Menerusinya juga kita telah mempunyai dua keseluruhan kapal mengutip sampah dengan satu di Sungai Klang sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI