IPOH – Gangguan bekalan air di daerah Batang Padang dan Hilir Perak akibat kebocoran dua saluran paip yang membekalkan air mentah dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.
Kawasan terjejas melibatkan Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh serta kawasan sekitarnya.
Turut terjejas, Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemulihan awal bekalan air di kawasan tersebut dijangka mencapai 50 peratus berdasarkan kerja-kerja pembaikan paip bocor akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah.
“Lembaga Air Perak (LAP) telah melaksanakan kerja-kerja pintasan sepanjang 500 meter pada dua saluran paip yang mengalirkan air mentah dari muka sauk Batu 7 Sungai Woh dan Batu 10 Sungai Batang Padang ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Menurutnya, seramai 50,000 pengguna terjejas akibat kejadian ini dan beliau menjangkakan kerja-kerja baik pulih akan selesai hari ini, membolehkan bekalan air disalurkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus pengguna esok.
“Baki 50 peratus lagi dijangka pulih dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
“LAP juga telah mengerahkan 23 lori tangki air, termasuk bantuan daripada operator air negeri, untuk membekalkan air bergerak ke kawasan yang terjejas, termasuk Hospital Tapah dan Hospital Teluk Intan,” katanya. – KOSMO! ONLINE