PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai individu yang berani bertindak dan tegas dalam memperjuangkan isu Palestin.
Perdana Menteri berkata, Erdogan dengan lantang bersuara menentang perampasan, penjajahan, dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ketika ramai pemimpin lain sanggup mengorbankan prinsip demi kepentingan sendiri.
Beliau berkata, sokongan Turkiye bukan sekadar kata-kata tetapi bertindak secara nyata, konsisten dan teguh.
“Ketika yang lain masih ragu-ragu, beliau tetap berpendirian teguh. Dengan tumpuan dunia yang semakin meningkat, beliau memastikan bahawa sokongan terhadap Palestin diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna,” katanya ketika berucap pada majlis syarahan umum Erdogan sempena lawatan Presiden Turkiye itu ke negara ini di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menyifatkan persahabatannya bersama Erdogan yang terjalin bukan sekadar dasar kepentingan sementara, tetapi atas solidariti yang teguh.
“Dalam saat kesukaran peribadi, beliau menghulurkan tangan ketika ramai yang berpaling. Sokongan beliau bukan sekadar formaliti atau bertujuan untuk kepentingan politik. Ia adalah satu ekspresi persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya,” katanya.