KUANTAN – Polis berjaya merampas sejumlah 275.476 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM8.8 juta dan menahan dua lelaki di Kampung Sungai Mun di Lipis pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dadah itu ditemukan dalam kereta jenis Toyota Wish yang terlibat dalam kemalangan langgar lari di Kampung Pagar Pasak sebelum dikejar orang awam sehingga ke Kampung Sungai Mun.
Katanya, susulan itu juga polis menahan pemandu Toyota Wish yang merupakan lelaki warga emas berumur 67 tahun dan seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek berumur 31 tahun yang datang bertemu suspek di lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, menemukan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi bungkusan-bungkusan plastik lut sinar berwarna coklat bertulisan cina dan berlabel ‘chrysanthemum tea’.
“Setelah diperiksa isi kandungan bungkusan bewarna coklat, dijumpai ketulan kristal yang disyaki merupakan dadah jenis syabu.
“Jumlah keseluruhan rampasan terdiri daripada 13 plastik berwarna hitam yang mengandungi 261 bungkusan plastik lutsinar. Setiap bungkusan plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini hari ini.
Tambahnya, anggaran berat keseluruhan dadah yang dijumpai adalah berjumlah 275.476 kg dengan nilai rampasan dadah berjumlah lebih RM8 juta. – KOSMO! ONLINE