fbpx

CAP kesal aduan pokok bakau mati tidak diendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pokok bakau yang mati di kawasan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal apabila tiada tindakan berkesan diambil susulan aduannya mengenai pokok bakau di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau yang mati sehingga mengakibatkan kemusnahan alam semula jadi.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya mengulangi gesaan kepada Kerajaan Pulau Pinang, jabatan dan agensi yang terlibat supaya menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung punca kejadian berlaku.

Menurutnya, hasil tinjauan CAP mendapati kira-kira tiga hektar pokok bakau di antara kawasan Kuala Sungai Pinang dan Kuala Sungai Baru telah mati manakala bakinya lagi mungkin terjejas serta musnah jika punca masalah ini dibiarkan berlarutan.

“CAP kesal walaupun masalah tersebut sudah lama berlaku dan aduan mengenainya telah dibuat kepada pihak berkenaan, namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil untuk menangani masalah ini.

“Kami difahamkan oleh Jabatan Perhutanan Pulau Pinang bahawa pokok-pokok bakau jenis api-api yang mati itu berkemungkinan disebabkan oleh sisa bahan buangan daripada kolam ternakan udang berhampiran.

“Memandangkan hutan paya bakau merupakan ekosistem penting bagi pembiakan pelbagai spesies hidupan laut, CAP bimbang keadaan ini akan menjejaskan mata pencarian kira-kira 500 nelayan pantai di kawasan itu jika tindakan tegas tidak diambil,” katanya di sini hari ini.

Keadaan saliran berhampiran kawasan ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

Jelas lagi, nelayan di kawasan berkenaan turut mendakwa hasil tangkapan seperti ikan, ketam dan udang telah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai akibat pencemaran sisa buangan dari kolam ternakan udang dan kemusnahan hutan paya bakau.

“Mereka juga menghadapi masalah ketika melabuhkan pukat di laut kerana gangguan sisa pokok bakau yang ditebang dibawa arus dan mencemarkan perairan itu manakala sistem saliran sekitar kolam ternakan udang di sini juga telah tertimbus dan tersumbat oleh sisa buangan,” ujarnya.

Justeru katanya, CAP meminta Jabatan Perikanan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Pejabat Daerah Barat Daya memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

“CAP berharap hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil didedahkan kepada umum dalam masa terdekat,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI