fbpx

‘Bukan pencabar, Trisha Ooi gandingan terbaik saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT kali bergandingan, Fify menyifatkan Trisha sebagai gandingan terbaiknya untuk karya aksi. – SADDAM YUSOF 

TIDAK dinafikan industri seni hiburan di Malaysia kekurangan pelakon aksi wanita berbanding lelaki.

Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari. Itu pun tidak sampai 10 orang. Antara pelakon wanita yang sinonim dengan watak aksi termasuklah Farali Khan dan Fify Azmi.

Fify pernah mengukir kejayaan dengan meraih anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM) menerusi lakonannya dalam filem Wira.

Kini seorang lagi pelakon yang sinonim dengan watak aksi mula mencuri perhatian ramai iaitu Trisha Ooi. Sama seperti Fify, Trisha juga telah berjaya menggondol anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 impak persembahan aksi silatnya dalam filem Janna Endoro.

Melihatkan pencapaian yang hampir serupa, ramai beranggapan Trisha merupakan pencabar atau pesaing terdekat kepada Fify.

Perpandangan sebaliknya, Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, 35, tidak pernah menganggap aktres tinggi lampai itu sebagai pesaing.

“Tidak pernah sekali pun saya anggap Trisha sebagai pencabar atau pesaing. Sewaktu namanya dicalonkan dalam FFM, memang saya mengharapkan dia menang.

“Trisha mengingatkan kepada diri saya yang dahulu. Saya boleh lihat usaha kerasnya. Dia bermula dari bawah. Dia seorang yang sangat ‘chill’ dan tak suka buat perkara bukan-bukan,” katanya kepada Kosmo! Online.

FIFY bakal muncul dengan filem aksi berjudul Strike: Silat Cult Master yang masuk panggung bermula 13 Februari ini.

Tambah bekas peserta program Dewi Remaja 2015 itu lagi, dia sebenarnya tertunggu-tunggu siapa lagi pelakon wanita di Malaysia yang mampu membawakan watak aksi dengan baik.

“Apabila ada pelakon seperti Trisha, saya sangat gembira kerana saya memiliki pelakon yang baik untuk digandingkan bersama dalam babak aksi.

“Sebenarnya saya sudah empat kali bergandingan dengannya. Kali pertama menerusi filem Wira. Lagi pun sebelum dia bergelar pelakon, dia merupakan ‘stunt woman’s.

“Setakat ini Trisha adalah gandingan terbaik saya untuk babak aksi. Saya senang bekerjasama dengannya. Jadi untuk kata saya rasa tercabar itu tidak tepat sama sekali,” jelasnya.

Sering berlakon watak aksi, Fify sebetulnya tidak mahu stereotaip dalam lakonan. Sebagai pelakon, dia enggan membataskan persembahan dalam satu genre sahaja.

“Saya mahu jadi versatil dan boleh melakonkan watak komedi atau pun drama. Mungkin ramai tak tahu saya pernah bawa watak komedi sebelum ini dalam telefilem.

“Memang orang nampak saya banyak berlakon watak aksi tetapi sebagai pelakon, saya mahu mencuba pelbagai watak dan bekerja dengan ramai pengarah.

“Antara pengarah yang berada dalam senarai saya ialah Osman Ali, Datuk Yusri Abd. Halim dan Allahyarham Mamat Khalid.

“Sayangnya saya tidak sempat berlakon bersama arwah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, filem terbaharu lakonan Fify sekali lagi muncul dalam filem aksi, Strike: Silat Cult Master bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI