fbpx

Bekas pengerusi masjid didakwa senarai penerima zakat bukan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamizan (kiri) didakwa memperdaya Bakip dalam agihan zakat di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengerusi Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memperdaya Badan Kebajikan Islam Petronas (Bakip) dalam agihan zakat pada 11 bulan lalu.

Tertuduh, Hamizan Amid, 56, yang juga juruteknik kebakaran di sebuah syarikat minyak dan gas di Kerteh membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Hamizan didakwa memperdaya pegawai agama Bakip dengan mengemukakan empat penama dalam kalangan komuniti Kampung Batu Putih yang bukan berstatus miskin.

Perbuatan tertuduh didakwa telah mendorong pegawai agama Bakip tersebut menyerahkan zakat wakalah berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada empat penama terbabit walaupun mereka sebenarnya tidak layak.

Dia selaku Pengerusi Masjid Kampung Batu Putih pada masa itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada Mac 2024.

Hamizan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kosmo! 6 November 2024 melaporkan pengerusi sebuah masjid di Kemaman ditahan reman selama enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa berhubung agihan bantuan zakat yang telah disampaikan pada bulan April tahun lalu.

Suspek dipercayai turut menyenaraikan isterinya sebagai salah seorang daripada 50 penerima bantuan zakat terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI