fbpx

Bawa lebih muatan simen punca kerosakan tayar lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh mangsa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada 23 Disember lalu.

MELAKA – Membawa muatan simen melebihi had dipercayai menjadi punca kerosakan tayar pada lori yang menyebabkan nahas mengorbankan tujuh individu, manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, 23 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesalahan tersebut menyebabkan syarikat logistik dari Johor itu bakal diheret didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini.

“Ketika kejadian treler berkenaan membawa muatan serbuk simen dan dipercayai telah membawa lebih muatan sebanyak 31 peratus atau 16,260 kilogram daripada had yang dibenarkan.

“Itu sebenarnya menjadi punca hingga menyebabkan tayar treler berkenaan tercabut hingga menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan serta mengorbankan tujuh nyawa.

“Surat saman bagi tindakan mahkamah telah diberikan kepada pemilik treler berkenaan pada 7 Februari lalu dan 4 Mac menjadi sebutan kes tersebut,” ujarnya kepada pemberita selepas Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Terminal Melaka Sentral di sini malam tadi.

Akhbar melaporkan pada 23 Disember lalu lima sekeluarga adalah antara tujuh yang terkorban, manakala 33 lagi cedera dalam nahas sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori, treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

Polis mengesahkan, tayar depan kanan kenderaan berat itu tercabut dan berada di lorong tengah, sebelum dilanggar bas persiaran menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan serta merempuh tiga kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI