fbpx

Bank Rakyat sumbang kelengkapan sekolah kepada 600 murid B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (tiga dari kiri) memberi sumbangan beg sekolah kepada kanak-kanak pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah di Dewan Serbaguna, Seksyen 7, Kota Damansara, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensinya, Bank Rakyat memperuntukkan sumbangan bernilai RM48,000 kepada 600 murid kategori B40 daripada 19 sekolah sekitar Sungai Buloh, hari ini.

Penyerahan bantuan berupa kelengkapan sekolah seperti beg dan alat tulis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Beliau turut mengumumkan bantuan peribadi pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri berjumlah RM20 kepada semua pelajar berkenaan dengan bantuan Bank Rakyat.

“Seramai 300 murid daripada 11 buah sekolah di Kota Damansara, dan 300 murid lagi daripada lapan buah sekolah di Paya Jaras menerima bantuan ini.

“Saya juga beri sumbangan peribadi kepada setiap pelajar ini pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri sebanyak RM20 sebagai platform untuk menyimpan demi masa depan pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat: Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah Peringkat Sungai Buloh di Kota Damansara, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, turut menegaskan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat, terutamanya di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan memberi manfaat kepada anak-anak dalam menjalani sesi persekolahan,” ujarnya.

Bank Rakyat telah melaksanakan pelbagai program Kembali Ke Sekolah di seluruh negara dengan nilai hampir RM200,000, sejak awal tahun ini.

Ia termasuk sumbangan kelengkapan sekolah dan bantuan pendidikan bagi membantu lebih 3,000 pelajar yang memerlukan di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Bank Rakyat juga mengambil langkah proaktif dengan menyumbangkan kemudahan pembelajaran digital kepada sekolah-sekolah terpilih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI