fbpx

Aruwin bangga harumkan nama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUWIN (kanan) menerima pin istimewa daripada Norza sempena Sukan Musim Sejuk Asia di Harbin kelmarin. - OLYMPIC COUNCIL OF MALAYSIA

PELUNCUR alpine ski negara, Aruwin Salehhuddin gembira dengan prestasinya di Sukan Musim Sejuk Asia Ke-9 di Herbin, China apabila menamatkan aksi di kedudukan empat terbaik bagi acara slalom wanita.

Pada aksi di Stadium Alpine Skiing Slalom, atlet berusia 21 tahun tersebut hanya ketinggalan kurang dua saat untuk meraih pingat gangsa.

Selepas ini, Aruwin akan mengalihkan tumpuannya dalam persiapan menghadapi Kejohanan Ski Dunia 2025 di Saalbach-Hinterglemm, Austria yang sedang berlangsung ketika ini hingga 17 Februari nanti.

“Saya meninggalkan Harbin dengan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada mampu menempatkan diri dalam kelompok lima teratas.

“Persaingan di sini antara yang terkuat di Asia, disokong oleh persekutuan yang lebih besar dan mempunyai banyak dana serta sudah bersaing dalam sukan ini selama berdekad lamanya.

“Ucapan terima kasih terbesar saya tujukan kepada pasukan kecil saya yang luar biasa, keluarga, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara dan semua yang terus menyokong saya.

“Kini tiba masanya untuk bergegas kembali ke Eropah bagi menghadapi Kejohanan Ski Dunia Saalbach 2025,” kata Aruwin.

Pada saingan tersebut, pingat emas menjadi milik atlet Jepun, Chisaki Maeda dengan catatan satu minit 33.50 saat (s), manakala perak dan gangsa dimenangi peluncur Korea, Gim So Hui (1:34.06s) serta Eren Watanabe dari Jepun (1:34.96s).

Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria mengucapkan tahniah atas prestasi terbaik Aruwin dan mengakui pihaknya akan memohon kepada Menteri Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan sokongan kewangan tambahan.

Katanya, langkah itu bagi membantu Aruwin layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan-Cortina, Itali sekali gus menjadi penampilan kedua selepas edisi Beijing 2022.

“Ini adalah kejayaan yang membanggakan. Dia bukan sahaja atlet wanita Malaysia pertama layak dalam Alpine Skiing di Sukan Olimpik Musim Sejuk, tetapi kini mencatat sejarah sebagai atlet pertama negara bertanding acara sama di Sukan Musim Sejuk Asia.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian menduduki tempat keempat, hanya kurang 2s daripada pemenang pingat gangsa,” kata Norza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN