PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh usaha menghapuskan amalan pemindahan lesen perniagaan yang berlarutan selama puluhan tahun, sama ada di ibu negara atau kota-kota besar lain.
Beliau turut menegaskan keperluan penguatkuasaan yang tegas dalam merealisasi perubahan.
“Umpamanya langkah berani Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mereformasi pengurusan lesen bazar Ramadan di Kuala Lumpur yang berjaya menurunkan kadar sewa untuk peniaga.
“DBKL perlu bertindak tegas, termasuk membatalkan lesen serta-merta jika ada penyalahgunaan, agar prinsip keadilan dan ketelusan terus terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi ini.
Selain itu Anwar berkata, bagi persiapan Malaysia menyambut tetamu asing sempena kunjungan hormat dan persidangan ASEAN, beliau tegaskan penjawat awam perlu menunjukkan keupayaan mengurus ratusan program bertaraf antarabangsa dengan cekap dan berkesan.
“Komitmen tinggi daripada penjawat awam ini dapat saya saksikan sendiri semalam tatkala meninjau persiapan menyambut kunjungan sahabat saya Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia.
“Sekalung penghargaan buat ribuan penjawat awam yang mengorbankan hujung minggu serta bertungkus-lumus bagi menjulang nama negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE