fbpx

‘Abang, abang… baliklah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Arman Nasrul cuba ditenangkan oleh saudaranya di lokasi kejadian dekat Sungai Padang Terap di Titi Chegar, Chegar di Pendang, hari ini.

PENDANG – Suasana di tapak operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang terjatuh ke dalam Sungai Padang Tetap di Titi Chegar, Chegar dekat sini hari ini menjadi sayu dengan tangisan dan jeritan adik mangsa.

Muhammad Arman Nasrul, 11, yang kelihatan lemah memanggil abangnya, Nur Haidhar, 17, sehingga terpaksa ditenangkan oleh keluarga yang berada di lokasi kejadian.

“Abang, abang baliklah, kami tunggu. Baliklah,” rintih Muhammad Arman yang terpaksa dipapah oleh keluarga mangsa yang berhimpun seawal 8 pagi di lokasi untuk mendapatkan perkembangan terbaharu tentang SAR itu.

Bapa kanak-kanak tersebut, Nasrul Noorul’in, 45, memberitahu, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan, apatah lagi mangsa yang juga merupakan anak sulung pulang bercuti dari asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik selama sebulan.

“Mereka berdua sangat rapat, sejak balik bercuti ini memang tidak dapat dipisahkan, tidur pun bersama. Bila dapat tahu berita kemalangan ini, Arman paling terkesan. Sejak semalam tidak boleh tidur dan meracau nama abangnya.

“Kami sekeluarga yang risau dengan Arman dan kesihatannya. Saya harap dia juga tabah seperti kami yang reda dengan ketentuan Allah SWT ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Bercerita lanjut kata bapa kepada tiga anak itu, mangsa dikatakan keluar rumah selepas solat asar semalam untuk bersiar-siar bersama dua rakan dengan menaiki motosikal.

“Saya mendapat panggilan daripada saudara kira-kira pukul 7.15 malam memberitahu anak saya terjatuh dalam sungai, berderau dan cemas. Pada saat itu saya masih berharap anak sulung saya itu ditemukan selamat. Namun pada masa yang sama kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI