PENDANG – Setelah hampir 16 jam pencarian mayat seorang remaja yang hilang setelah terjatuh dalam Sungai Padang Terap, Titi Chegar di sini semalam ditemukan kira-kira pukul 11.18 pagi tadi.
Mayat mangsa, Nur Haidhar Nasrul, 17, dari Tanah Merah di sini ditemukan di dasar sungai tersebut kira-kira 10 meter dari tempat mangsa terjatuh pada pukul 6.30 petang semalam.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula petang semalam disambung pada pukul 7.15 pagi hari ini dengan pemantauan dan selaman di dasar sungai tersebut.
“Selaman kali ketiga berjaya menemui mayat mangsa pada jarak 10 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Shamzury Saman berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam apabila mangsa membonceng motosikal bersama rakannya melalui kawasan tersebut.
“Mangsa membonceng motosikal bersama rakannya yang berada di hadapan sementara seorang rakan mereka menaiki motosikal di belakang. Setiba di lokasi motosikal yang dinaiki mangsa berselisih dengan sebuah kereta dan dipercayai cuba mengelak sebelum terlanggar pagar seterusnya terbabas ke dalam sungai tersebut.
“Rakan mangsa yang terjatuh bagaimanapun dapat menyelamatkan diri dan naik ke atas. Mayat mangsa yang ditemukan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. – KOSMO! ONLINE