PETALING JAYA – Bagi mereka yang ingin mencari ketenangan sambil menikmati keindahan alam semulajadi, Payo Campsite yang terletak di Pekan Rengoh, Johol, Negeri Sembilan adalah salah satu destinasinya.
Menurut pemilik Payo Campsite, Datuk Seri Murni Sheikh Ahmad , idea untuk membuka Payo Campsite ini tercetus selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman sebelum ini mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memajukan tanah adat yang terbiar di kawasan Johol.
Jelasnya, beliau mengambil inisiatif tersebut dengan menampilkan kelainan di kawasan berkenaan, sekali gus lebih menghargai aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi.
“Asalnya Payo Campsite ini ditubuhkan berkonsepkan pemulihan yang bersekali dengan aktiviti secara semula jadi di sini. Sebab saya ada satu pertubuhan yang mula beroperasi sejak Mei 2023.
“Di sini kita sediakan pelbagai hospitaliti, pertanian penternakan, konsep healing, sewaan tapak, dan khemah termasuk untuk peminat aktiviti ‘camper van’,” katanya.
Bagaimanapun kata Seri Murni, kem yang dibangunkan atas tanah adat yang terbiar seluas 2.4 hektar itu juga sesuai untuk pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti di sungai, mini ‘theme park’, memanah, catur, badminton, bola tampar, catur, karom dan hammock.
“Ia lebih kurang dengan agrotourism, mereka yang ingin datang ini perlu buat tempahan di laman web kami tersebih dahulu dan ada pihak pekerja dan pengurusan yang akan membantu mereka.
“Di sini pun saya sudah buat kolam ikan dan kawasan pertanian. Dalam masa yang sama kita juga ada mengeluarkan produk Payo Campsite sendiri seperti dendeng, ikan masin telang, bawang goreng dan sebagainya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE