TAMAN tema dalaman atau indoor theme park merupakan antara lokasi popular untuk dikunjungi, khususnya bagi ibu bapa yang mahu menghabiskan masa bersama anak-anak.
Tanpa perlu bimbangkan cuaca hujan atau panas terik, taman tema sebegini lazimnya bersifat interaktif dan memberikan pengalaman bermain sambil belajar.
Taman tema interaktif GameOn membuka pintunya di pusat beli-belah Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu dengan menyediakan 14 tarikan utama yang boleh dicuba pengunjung.
Antaranya termasuk cabaran kung fu, cabaran ninja, meja pool, trampoline, maze running, ruang karaoke, ruang permainan e-Sukan dan permainan papan klasik seperti catur serta jenga, dalam ruang seluas 2,787 meter persegi.
Gabungan elemen fizikal dan hiburan pada setiap tarikan ditawarkan membolehkan pengunjung berseronok dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Pengasas bersama GameOn, Lilian Chan yang juga merupakan pengasas taman tema indoor, NextGen berkata, tarikan baharu itu merupakan sesuatu mengujakan.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/desti-3-1024x683.jpg)
Sports Hub menyediakan pelbagai tarikan interaktif kepada pengunjung.
“Menerusi pembukaan taman tema indoor di pusat beli-belah Melawati Mall ini, kami komited untuk memberikan pengalaman inovatif yang mampu menyatukan pengunjung.
“Setiap tarikan di dalam GameOn direka mengikut keperluan komuniti bagi memastikan ada sesuatu yang boleh kami tawarkan.
“Daripada pasukan di pejabat yang mahukan aktiviti team building sehinggalah mereka yang mahu mencari aktiviti menyeronokkan untuk dinikmati bersama ahli keluarga,” katanya.
Fasa kedua GameOn di Melawati Mall juga akan diumumkan menjelang Mac tahun ini.
Selain menjadi salah sebuah taman tema indoor terbesar di Kuala Lumpur, sebahagian daripada fasa kedua itu melibatkan pembinaan gelongsor dalaman terpanjang di Malaysia yang menghubungkan tingkat enam sehingga tingkat bawah (Ground Floor).
Ia juga dijangka menjadi tarikan kemuncak taman tema itu, sekali gus memberi lebih cabaran dan keseronokan kepada pengunjung.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/desti-2-1024x683.jpg)
Bagi seorang pengunjung GameOn yang dikenali sebagai Aidil, 28, dia menyifatkan kunjungan ke taman tema itu sebagai sesuatu menyeronokkan, selain harganya berpatutan.
“Cuti hujung minggu bagi saya merupakan waktu yang sesuai untuk mengunjungi taman tema indoor sebegini.
“Selain lokasinya yang terletak di ibu kota, harga tiket masuk juga tidak mahal. Pembelian setiap tiket masuk, pengunjung boleh menghabiskan masa seharian untuk mencuba semua aktiviti yang disediakan.
“Saya paling suka cabaran ninja di sini kerana ia sesuatu yang belum pernah saya cuba.
“Selain itu, ia menguji kemampuan fizikal kami,” katanya yang berkunjung ke situ bersama dua orang rakan.
Tiket masuk boleh dibeli di laman web rasmi GameOn pada harga RM28 untuk kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah serta RM32 buat dewasa.