SHAH ALAM – Seorang lelaki yang melepaskan tembakan hingga mencederakan tukang cuci di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini, turut mengugut pengunjung lain untuk memandu keluar bagi meloloskan diri.
Suspek tempatan berusia 30-an itu kemudian meminta diturunkan di tepi jalan kawasan sebuah lebuhraya lalu menghilangkan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerusi Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat mengenai insiden tembakan itu, kira-kira pukul 10.50 malam.
Jelas beliau, siasatan mendapati suspek melepaskan empat das tembakan ke atas seorang tukang cuci berusia lewat 30-an yang mahu menyimpan peralatan mencuci di aras P1.
“Mangsa yang cedera di kaki dan punggung kemudian melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli belah bagi mendapatkan bantuan, manakala suspek lari ke aras P2.
“Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu seorang pengunjung dengan mengacu pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan Shah Alam,” katanya hari ini.
Menurut Hussein, polis menerima tujuh laporan yang dibuat saksi awam termasuk mangsa dan pemandu kereta tersebut.
“Semakan mendapati suspek memiliki 11 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Mangsa yang dirawat di sebuah hospital tidak mengenali suspek dan pengecaman identiti dikesan menerusi risikan polis serta hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu suspek dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd. Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222,” katanya. – KOSMO! ONLINE