SHAH ALAM – Polis mengesahkan seorang lelaki cedera ditembak suspek dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa yang juga orang awam ditembak seorang penjenayah di premis tersebut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan selamat dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan. Suspek terlibat melarikan diri dan pusat beli belah ini disahkan selamat untuk beroperasi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan polis di lokasi kejadian dan sebarang maklumat terperinci akan dimaklumkan kepada media dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Tinjauan Kosmo! Online mendapati sepasukan anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Difahamkan, lelaki warga tempatan melepaskan tembakan di dalam pusat beli belah itu menyebabkan orang awam tercedera sebelum bertindak melarikan diri.- KOSMO! ONLINE