PENAMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan lebih banyak pasar raya serta premis perniagaan mengguna pakai pembayaran menggunakan sistem Mykad.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia seiring dengan pelaksanaan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diperluaskan menggunakan sistem berkenaan ke Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.
“Sebelum ini pemberian inisiatif Sara di dua negeri terbabit diberikan secara tunai. Bagaimanapun, adakalanya tempoh pemberian itu mengambil masa lama sehingga berbulan untuk disampaikan kepada golongan sasar.
“Namun Kementerian Kewangan baru-baru ini, mengumumkan bermula tahun ini kerajaan melibatkan pasar raya dan premis perniagaan lain di Sabah dan Sarawak yang membolehkan sumbangan berkenaan digunakan menerusi pembayaran sistem MyKad,” katanya ketika ditemui selepas meninjau harga barangan keperluan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Armizan sebelum itu turut menyempurnakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back to School 2025 sempena musim cuti persekolahan di pusat beli-belah sama.
Menurut beliau, langkah itu dilihat lebih memudahkan rakyat memanfaatkan inisiatif berkenaan yang dikreditkan ke dalam MyKad penerima.
“Pengguna boleh datang ke pasar raya dengan hanya membawa MyKad masing-masing untuk membuat pembayaran selain boleh menyemak baki sumbangan sekali gus lebih mudah untuk pengguna,” katanya.
Terdahulu, Armizan turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan hampir RM13 bilion bagi tahun 2025 untuk inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara dalam usaha membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE