RIYADH – Kerajaan Arab Saudi menolak komen Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini yang menyarankan rakyat Palestin berpindah ke negara beraja itu dari tanah air mereka, lapor portal berita Wafa hari ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar, Arab Saudi menyatakan penghargaannya di atas kecaman daripada negara-negara Arab dan Islam berhubung komen tersebut.
Riyadh mengecam kenyataan Netanyahu sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada jenayah berterusan yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza, di mana mereka menghadapi pembersihan etnik secara berterusan.
Arab Saudi menyatakan bahawa kenyataan seperti itu gagal mengiktiraf hubungan sejarah, undang-undang dan emosi mendalam yang dimiliki oleh rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.
Kenyataan itu menekankan kesan buruk pencerobohan Israel ke atas Gaza, di mana lebih 160,000 orang telah terbunuh atau cedera, majoritinya wanita dan kanak-kanak, tanpa mengambil kira hak asasi manusia atau tanggungjawab moral.
Arab Saudi mengulangi bahawa rakyat Palestin adalah pemilik sah tanah mereka dan tidak boleh dianggap sebagai orang asing atau pendatang yang boleh diusir sesuka hati oleh Israel. – AGENSI