KLANG – Kegiatan sebuah premis memproses sisa elektronik secara haram di Jalan Kapar di sini, tumpas selepas digempur pihak berkuasa membabitkan rampasan berjumlah RM10.3 juta semalam.
Serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pegawai Pemerintah batalion itu, Superintendan Jafri Muhamad berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pengurusan sisa haram di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan menemukan sejumlah bahan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual mengikit Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Terjadual 2005.
“Barangan dirampas antaranya 120 tan logam tembaga, 100 tan logam aluminium, 80 tan logam keluli, dua mesin pemampat dan 250 unit meter elektrik. Turut dirampas tiga forklift, kunci dan lori,” katanya hari ini.
Jelas beliau, dua lelaki warga Kemboja berusia 24 dan 42 tahun yang juga pekerja premis itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua rampasan berjumlah RM10.3 juta itu diserahkan kepada JAS untuk tindakan di bawah Seksyen 22, 25, 34A, dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1976.
“Dua suspek pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE