LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot mahu terus bersikap adil buat semua pemain apabila akan melaksanakan sistem penggiliran untuk aksi Piala FA menentang Plymouth Argyle malam ini.
Mengambil kira jurang kualiti antara kedua-dua pasukan, Slot berkemungkinan akan menurunkan tiga pemain daripada akademi untuk berada dalam kesebelasan utama.
Situasi hampir sama akan terus dilihat, sama seperti pertemuan dengan Accrington Stanley di mana pemain Wataru Endo, Harvey Elliott dan Federico Chiesa turut dijangka menjadi pemain senior yang akan ketuai pasukan.
“Pasukan mana yang akan kami tentang, saya anggap ia sebagai perlawanan yang sukar kerana perlawanan ini dilangsungkan di tempat lawan dan mungkin ini juga adalah perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri.
“Tidak dapat dinafikan apabila kami pertaruhkan pasukan yang jarang bermain bersama, ia sedikit sukar. Namun, kita sudah melihatnya banyak kali, pemain masih mampu bermain dengan baik termasuk ketika bertemu PSV Eindhoven,” katanya.
Buat masa ini, Alisson, Alexis Mac Allister dan Luis Diaz masih belum pasti sama ada akan jadi taruhan atau pun direhatkan kerana The Reds akan berdepan Everton dalam saingan liga, Khamis ini.
Untuk itu, Slot beranggapan pemain perlu mendapat sedikit rehat bagi memastikan mereka mampu beraksi pada tahap terbaik setiap kali diturunkan.
“Adalah penting untuk pemain tidak harungi terlalu banyak perlawanan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan bersedia. Kami juga perlu berikan peluang kepada pemain yang kurang minit permainan bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan sedia,” jelasnya. – AGENSI