MANCHESTER – Pengendali Leicester City, Ruud Van Nistelrooy nyata tidak berpuas hati sambil menyifatkan keputusan pengadil membenarkan jaringan kemenangan Manchester United menerusi Harry Maguire sebagai suatu yang tidak boleh diterima.
Aksi pusingan keempat di Old Trafford awal pagi semalam menyaksikan Leicester tersingkir selepas tewas 1-2 biarpun The Foxes terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Bobby De Cordova-Reid, namun gol penyamaan Joshua Zirkzee dan Maguire meranapkan impian mereka untuk mara.
Penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang hanya akan beroperasi pada pusingan kelima menyebabkan Leicester terpaksa menanggung kekecewaan biarpun Maguire jelas berada pada kedudukan ofsaid ketika melakukan jaringan tersebut.
“Sukar untuk menerima kekalahan ini kerana perlawanan ini dipisahkan oleh kesilapan. Ia sangat jelas. Ia bukan mengenai VAR keseluruhan, tetapi jarak kedudukan ofsaid itu sangat nyata.
“Pasuan ini tidak layak untuk kalah dengan cara sebegini kerana kami bermain dengan baik, mempamerkan sikap melawan dan mendominasi permainan. Kami tidak tewas dengan ‘Fergie Time’, tetapi kerana ofsaid,” katanya.
Van Nistelrooy mengakui bahawa beliau dan para pemain sangat kecewa apabila membuat persiapan rapi untuk berdepan aksi berkenaan, namun hampa dengan keputusan dibuat oleh pegawai perlawanan.
“Anda membuat persiapan sepanjang minggu untuk memberikan reaksi selepas kekalahan kepada Everton. Kemudian anda turun bermain dengan sangat baik, tetapi kekalahan ini berpunca daripada kesilapan, ia sangat di luar jangkaan,” ujarnya. – AGENSI