MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mendedahkan bahawa beliau tidak gembira dengan prestasi dipamerkan oleh para pemainnya ketika mereka mempamerkan kebangkitan menewaskan Leicester City 2-1 awal pagi semalam.
Pada aksi pusingan keempat Piala FA tersebut, Bobby De Cordova-Reid meletakkan Leicester di depan pada aksi di Old Trafford menyebabkan para penyokong tuan rumah mengecam aksi dipamerkan para pemain United.
Bagi mengubah nasib tersebut, Amorim membawa masuk Alejandro Garnacho pada babak kedua yang berjaya mencipta umpanan untuk Joshua Zirkzee meledak gol penyamaan dan ketika perlawanan hampir diheret ke masa tambahan, Harry Maguire berjaya menanduk masuk gol kemenangan.
Bagaimanapun, gol kemenangan yang berpunca daripada sepakan percuma Bruno Fernandes itu menimbulkan kontroversi apabila Maguire dilihat berada pada kedudukan ofsaid, namun aksi berkenaan tidak menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyebabkan gol itu disahkan.
“Kami perlu terus berjuang sehingga hujung perlawanan. Berdasarkan persembahan, kami perlu melakukan sesuatu yang lebih baik bersama dan ketika tanpa bola.
“Kami tidak mempunyai tenaga sejak awal permainan terutama pada babak pertama, kemudian pada separuh masa kedua kami bermain sedikit baik dengan kelajuan dan memenangi bola kedua.
“Kami berjaya mengubah nasib kami sendiri. Dari sudut keputusan ia mungkin baik, tetapi bukan mengenai cara kami bermain. Sebagai pengurus, saya bertanggungjawab apabila pasukan gagal bermain dengan baik dan menunjukkan peningkatan.
“Namun, kami di sini untuk mempelajari mengenai perlawanan dan melakukan peningkatan untuk perlawanan seterusnya. Saya fikir kami hanya perlu meningkatkan lagi beberapa perkara kecil untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.
United akan meneruskan aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad minggu depan apabila dijadual bertemu Tottenham Hotspur di London. – AGENSI