LONDON – Masalah prestasi Tottenham Hotspur tidak pernah menjadi jaminan buat Aston Villa untuk meraih kemenangan mudah pada aksi Piala FA di Villa Park awal pagi esok.
Pengurus Aston Villa, Unai Emery menjelaskan pasukannya perlu membuat persediaan rapi untuk berdepan segala kemungkinan sekali gus mampu memberikan kegembiraan buat penyokong.
“Perkara paling penting adalah bagaimana kami menikmati perlawanan di Villa Park bersama penyokong sendiri. Di mata peminat, pertandingan ini cukup berprestij di England.
“Ia detik istimewa untuk kami layak dan meraih kejayaan. Tottenham adalah lawan yang tidak pernah mudah, jadi kami perlu berada dalam persediaan yang positif dan semuanya bergantung kepada bagaimana kami memberikan reaksi,” katanya.
Selain itu, Emery juga tidak pernah melabel pasukannya sebagai pilihan dan akan tetap menghormati Spurs walaupun lawan itu sedang dihimpit masalah prestasi.
Emery juga sedar kualiti yang ada pada rakan sejawatnya, Ange Postecoglou, tetapi memahami situasi sukar dihadapi Spurs ketika ini kerana masalah kecederaan pemain.
“Saya begitu hormati mereka dan disebalik isu kecederaan mereka sebenarnya memiliki skuad yang agak bagus. Jurulatih mereka ada kemampuan untuk menyediakan pelan bagi memastikan mereka dapat bermain dengan baik,” jelasnya. – AGENSI