PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan kekesalan apabila ada segelintir pengguna kenderaan terutama lelaki yang mengambil kesempatan meletakkan kereta di zon yang dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Thread dikenali sebagai leaurora, dia terlihat seorang lelaki memandu kereta dengan penumpang di sebelahnya seorang wanita dan mereka meletakkan kenderaan di zon tersebut dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini.
“Apa motif zon parking pink dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak kalau yang parking tu pemandunya adalah lelaki ek?
“Ceritanya begini, tengah hari aku singgah nak makan, bawa kakak dan anak-anak sekali. Masa tengah cari parking di aras UG, aku nampak kereta keluar dari zon parking pink, tapi dah ada yang menunggu.
“Cari lainlah dan semasa tengah pusing, aku nampak yang keluar dari kereta yang parking tu adalah lelaki ya,” katanya pada hantaran berkenaan.
Wanita itu berkata, duduk di sebelah lelaki tersebut adalah seorang wanita, namun tidak dapat dipastikan hubungan mereka.
“Tak tahulah kakak dia ke, teman wanita ke, tunang ke, isteri ke. Tapi dia parking di parking khas wanita kenapa? Adakah dia nak guna alasan, ‘oh saya ada bawa wanita juga sebelah saya. Tak sama ke?’ Tapi, pemandunya lelaki.
“Aku geram ya. Sebabnya macam dah salah guna pun ya. Dengan tak ada pengawal jaga. Bila aku tanya pengawal, dia cakap ‘situ parking semua boleh parking’,” katanya.
Wanita itu kemudian membuat aduan di kaunter khidmat pelanggan dan kakitangan di situ memberikan borang kepadanya untuk mengajukan permasalahan itu.
“Staf cakap, banyak kali dah tegur dan memang tak ada pengawal yang jaga kawasan zon parking khas situ sebabnya mereka jaga berpusing-pusing.
“Staf pun cakap, petak parking OKU pun orang salah guna. Pemandu elok, tapi penumpang OKU pun ‘bedal’ parking. Petak parking OKU untuk yang ada pelekat dan pemandu adalah OKU, bukan penumpang,” katanya. – KOSMO! ONLINE