PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, walaupun situasi kelihatan sudah reda, namun mengingatkan semua pihak bahawa kemungkinan untuk luruan yang membawa hujan lebat masih ada kerana Monsun Timur Laut dijangkakan akan tamat pada bulan Mac.
Kata beliau, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pada pukul 11.45 pagi hari ini mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang yang dijangka sehingga petang ini.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan ini.
“Saya berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada badan-badan korporat serta para NGO, Rakan NADMA serta komuniti setempat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Jelas Ahmad Zahid, beliau berharap pihak NADMA akan terus menyusun atur gerak kerja-kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi Kerajaan yang terlibat bagi mempercepatkan pemulihan terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas.
” Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir tersebut tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama.
“Untuk mengetahui laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.