fbpx

Marquez mula tunjuk potensi sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARQUEZ tekad bersaing dengan pelumba terbaik apabila mencatat masa terpantas sesi pramusim di Sepang kelmarin. - FARIZ RUSADIO

SEPANG – Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez mendominasi ujian pramusim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang dengan masa terpantas pada hari ketiga dan terakhir sesi ujian.

Marquez yang menunggang jentera Ducati GP24, mencatat 1:56.493 saat (s) kelmarin, mengatasi Francesco Bagnaia dengan perbezaan tipis 0.007s, manakala Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha berada di tempat ketiga menerusi masa 1:56.724s.

Catatan Marquez itu hanya 0.156s lebih perlahan daripada rekod pusingan dicipta Bagnaia pada kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu, sekali gus membuktikan keupayaannya untuk terus bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik.

“Saya memang sukakan litar ini dan sentiasa beraksi pantas di sini. Sekarang, kami perlu bertenang dan lihat bagaimana prestasi di Thailand nanti,” kata Marquez.

Pelumba Sepanyol berusia 28 tahun itu turut memuji respons jentera Ducati GP24 yang dianggapnya memberikan tindak balas baik dalam setiap situasi di litar.

Marquez memasuki musim keduanya bersama Gresini Racing dengan misi memperbaiki prestasi selepas meraih tempat kelapan musim lalu dan kesembilan keseluruhan pada 2023.

“Kami belajar banyak perkara musim lalu. Ketika berdepan kesukaran, kami mendapat lebih banyak pengetahuan.

“Konsistensi adalah kunci untuk berada dalam kedudukan kukuh sepanjang musim. Tetapi masih terlalu awal, kami perlu terus fokus dan bertenang,” tambah Marquez.

Ujian pramusim seterusnya akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand dan menjadi penanda aras lebih jelas untuk pasukan sebelum musim 2025 bermula. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI