fbpx

Lukisan digital, revolusi seni dalam dunia moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA karya menarik yang dihasilkannya bertajuk Goldfish Girl.

LUKISAN digital merupakan satu bentuk seni moden yang menggunakan teknologi komputer untuk menghasilkan karya seni. 

Ia semakin popular dalam kalangan artis dan pereka grafik kerana kemudahannya serta pelbagai alat dan teknik yang ditawarkan oleh perisian lukisan digital.

Tablet grafik atau tetikus berfungsi menggantikan kaedah tradisional yang menggunakan kertas dan cat sekali gus memudahkan proses penghasilan seni. 

Bagi pelukis, Intan Suhana Juhari, minatnya terhadap lukisan grafik bermula sedekad lalu sewaktu dia bekerja sebagai seorang jurufoto. 

Katanya, tugas sebagai jurufoto membuka ruang kepada dirinya untuk menerokai dunia digital dengan lebih mendalam sehingga mempengaruhi platform lukisannya. 

“Saya memang minat melukis secara tradisional dari di bangku sekolah dulu. Tapi pada satu hari itu, saya cuba melukis menggunakan tablet Wacom.

“Saya rasa sangat mudah dan menarik berbanding lukisan tradisional. Kemudian, saya terokai lagi pelbagai perisian melukis di pelbagai peranti mudah alih. 

“Sejak dari itu, saya sememangnya menumpukan pada penghasilan karya-karya yang dihasilkan menerusi digital berbanding tradisional,” katanya kepada CitaRasa. 

INTAN menggunakan iPad untuk menghasilkan karya-karyanya.

Pada masa kini, wanita yang lebih dikenali sebagai Sue Anna Joe dalam kalangan pencinta seni menggunakan perisian Procreate di dalam iPad miliknya. 

Kemahirannya dalam menghasilkan seni digital terserlah apabila karya Pro-Palestinnya digunakan orang awam ketika perhimpunan solidariti Palestin pada tahun 2023. 

Ini kerana lukisan yang diinspirasi daripada foto-foto sebenar dari negara sedang bergolak itu menimbulkan elemen emosi kepada sesiapa sahaja yang menatapnya. 

Lebih menyentuh perasaan, wanita berusia 43 tahun tersebut membenarkan orang awam untuk menggunakan lukisannya itu sebagai tanda solidariti secara percuma. 

Ketika mengulas mengenai lukisan digital signaturnya, ibu kepada dua orang anak itu banyak menghasilkan lukisan-lukisan dalam kategori  digital doodle illustration.

Berbeza dengan lukisan doodle yang sering dikaitkan dengan kecomelan, Intan  berkata, dirinya lebih menggemari tema-tema kegelapan yang memiliki makna tersirat. 

“Kebiasaannya ramai yang mengaitkan doodle dengan lukisan comel, namun saya lebih menggemari doodle yang memiliki elemen dark art. 

LUKISAN digital Pro-Palestin yang dihasilkan Intan dipakai banyak pihak untuk menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

“90 peratus daripada lukisan digital saya adalah secara spontan kerana saya sering bergantung pada ilham ketika itu.

“Penggunaan digital memudahkan kerana saya boleh terus padam sahaja bahagian yang saya ingin perbetulkan tanpa buang keseluruhan lukisan,” katanya. 

Untuk pengetahuan, proses penjualan lukisan digital bermula dengan menyediakan karya seni berkualiti dalam format yang sesuai seperti PNG, JPEG atau PSD. 

Artis boleh menjual karya mereka melalui pelbagai platform seperti marketplace seni digital (Etsy, ArtStation), NFT marketplace (OpenSea, Rarible) atau media sosial peribadi.

Mengenai cabaran menjual karya digital, Intan berkata, harga jualan boleh menjadi tinggi sekiranya dijual dalam bentuk edisi terhad. 

“Untuk harga, kita tengok sama ada digunakan untuk tujuan komersial atau sebaliknya,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI