BEBERAPA pulau di seluruh dunia sangat besar dan kebanyakannya adalah ‘rumah’ kepada manusia, flora dan fauna.
Setiap pulau mempunyai keunikan dan sejarahnya yang tersendiri serta kaya dengan hasil bumi sehingga membuatkan banyak negara mahu memiliki.
Ia juga mempunyai masyarakat peribumi yang memiliki budaya unik, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan yang menarik untuk dikunjungi oleh pelawat dari pelbagai negara.
Sehubungan itu, CitaRasa pada minggu ini menyenaraikan lima pulau terbesar di dunia dengan mengecualikan Australia kerana negara pulau itu sudah dianggap sebagai daratan benua.
1- Greenland
MEMPUNYAI keluasan 2,166,086 kilometer (km) persegi, Greenland tiga kali ganda saiz Texas di Amerika Syarikat. Greenland merupakan sebuah pulau di bahagian utara Lautan Atlantik dan timur laut Kanada. Pulau ini sebahagiannya terletak dalam Denmark dan majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Inuit.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/05_greenland_mappingsss-scaled.jpg)
Pada tahun 1979, Greenland diberi kuasa pemerintahan sendiri. Bermula tahun 1985, ia tidak lagi termasuk dalam Kesatuan Eropah, namun Ratu Denmark masih kekal menjadi Ketua Negara.
Namun pada 2008, Greenland telah mengadakan pungutan suara untuk menentukan kemerdekaannya daripada Denmark dan mengiktiraf Nuuk sebagai ibu kota.
2- New Guinea
NEW Guinea merupakan pulau kedua terbesar di dunia selepas Greenland dengan keluasan 821,400km persegi yang terletak di barat daya Lautan Pasifik.
Pulau yang berjiran dengan Australia ini mempunyai jumlah penduduk dianggarkan seramai 7.5 juta orang. Negara ini menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai penduduk peribumi yang boleh dibahagikan kepada dua kelompok etnik iaitu kumpulan Papua dan kumpulan Austronesia.
3- Borneo
DILITUPI dengan hutan hujan tebal, pulau Borneo menawarkan kekayaan flora dan fauna termasuk bunga raksasa (rafflesia arnoldii) terbesar di dunia.
Borneo mempunyai keluasan 748,168km persegi dan merupakan pulau terbesar di Asia.
Pulau ini dikelilingi oleh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Kepulauan Jawa, Sulawesi dan Filipina.
Pulau Borneo ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan), Brunei dan Indonesia di bahagian Kalimantan.
4- Madagascar
TERLETAK 402km dari pantai Afrika, Madagascar adalah ‘rumah’ kepada beberapa hidupan liar yang sangat unik termasuk 40 spesies lemur Madagascar dan 800 spesies rama-rama.
Madagaskar merupakan negara ke-46 terbesar di dunia dan pulau keempat terbesar di dunia dengan keluasan 587,295km persegi.
5- Baffin
PULAU terbesar di Kanada ini terletak di bahagian utara negara tersebut iaitu di wilayah Nunavut. Baffin diambil sempena nama seorang pelayar Inggeris abad ke-17, William Baffin.
Berkeluasan 507,451km persegi, Pulau Baffin mempunyai bilangan penduduk sekitar 11,000 orang yang tinggal di beberapa kampung di sekitar pantai-pantai kecil.
Untuk pengetahuan pulau-pulau popular lain ialah Sumatera di kedudukan ke-6, Honshu di Jepun (ke-7) dan Great Britain (ke-9).