MADRID – Juara dunia Formula Satu (F1), Max Verstappen didakwa mempunyai klausa pembelian keluar dalam kontraknya bersama Red Bull Racing yang membolehkan pencabar lain menyambar khidmatnya.
Verstappen, 27, ketika ini terikat kontrak bersama Red Bull sehingga 2028, namun hangat dikaitkan spekulasi menyertai Aston Martin yang sanggup mengemukakan tawaran lumayan bernilai £1 bilion (RM5.5 bilion).
Pelumba Belanda itu menandatangani kontrak lanjutan lima tahun bersama Red Bull, namun sebelum ini pernah menyatakan kenyataan untuk bersama pasukan yang mampu menyediakan jentera kompetitif untuk terus memburu kejuaraan dunia.
Meskipun Aston Martin secara terbuka menafikan dakwaan tersebut, namun tidak menolak minat jika wujub peluang ‘melamar’ Verstappen memandangkan rancangan besar pasukan berkenaan adalah untuk menjadi kuasa dominan dalam dunia F1.
Bagi merealisasikannya, Aston Martin merekrut tokoh terkemuka industri F1 termasuk Adrian Newey iaitu pereka terkenal yang bertanggungjawab menghasilkan jentera kejuaraan dunia untuk menyertai mereka sebagai rakan teknikal pengurusan pada musim ini.
Penyertaan Newey dilihat sebagai daya tarikan tambahan bagi Aston Martin untuk menarik pelumba handalan seperti Verstappen yang telah menikmati kejayaan besar bersama jentera rekaan pakar aerodinamik tersebut.
Begitupun, bekas Ketua Pasukan Haas, Guenther Steiner menyatakan pandangannya bahawa segalanya bergantung kepada persembahan tahun ini sama ada Verstappen benar-benar akan meninggalkan Red Bull pada kempen 2026.
“Saya tidak tahu butiran dalam kontrak Max (Verstappen), tetapi saya andaikan dia mempunyai klausa prestasi.
“Jika pasukan tidak cukup baik, dia mungkin boleh meninggalkan mereka selepas 2026. Jika kereta mereka hebat pada 2026, ia akan kekal kompetitif untuk tiga atau empat tahun lagi,” kata Steiner. – AGENSI