ANGGAPAN bahawa setiap hiasan dalaman rumah yang memiliki nilai estetika tinggi memerlukan bajet besar adalah tidak benar.
Berbekalkan kreativiti, kemahiran dan usaha, sesiapa sahaja boleh menghiasi rumah mereka dengan bahan kitar semula tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak.
Pemilik rumah, Riduan Amizan Ismail menggunakan pendekatan tersebut untuk menghiasi kediaman kondominium miliknya di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur.
Memilih dekorasi bertemakan Black and Brown, lelaki berusia 38 tahun itu berkata, dia hanya membelanjakan wang kurang dari pada RM1000 untuk menghiasi kediaman berkeluasan 1100 kali persegi (102.1 meter persegi).
“Saya buat perbandingan harga di antara kedai-kedai perabot seperti SSF Home dan IKEA dengan kedai-kedai dan platform menjual barangan terpakai.
“Bayangkan sebuah kerusi yang berharga hampir RM700 di kedai biasa, saya jumpa dengan harga RM50 sahaja di aplikasi Carousell (barangan terpakai),” ujarmya kepada CitaRasa.
Selain daripada aplikasi Carousell, guru sekolah rendah tersebut turut membeli perabot di kedai barangan terpakai seperti Unearth serta jualan garaj.
Selepas itu, perabot-perabot tersebut akan ‘diolah’ mengikut kreativitinya sama ada dengan dicat semula atau dibaik pulih agar kelihatan seperti baharu.
Ini kerana di kebanyakan masa, barangan-barangan terpakai memerlukan sedikit olahan agar nampak timeless dan memiliki fungsi yang baik.
Akui tidak memiliki latar belakang atau pengetahuan teori berkenaan reka hiasan dalaman, Riduan banyak menggunakan internet sebagai rujukan.
“Kerusi terpakai yang saya beli itu tadi, saya cat balik dengan warna hitam dan pasangkan semula rotan pada kerusi tersebut.
“Untuk konsep ‘do it yourself’ (DIY) ini, pemilik rumah perlu ada kemahiran, kreativiti dan kesabaran untuk menjadikannya kelihatan baharu.
“Sekiranya tidak, saya khuatir rumah tidak akan tampak berseri apabila perabot-perabot usang dijadikan hiasan rumah,” katanya yang turut membeli menerusi aplikasi shopee.
Biarpun kediaman dengan tiga bilik dan dua bilik air itu menggunakan tema Black and Brown, namun suntikan warna kuning dan hijau diterapkan untuk menaikkan seri rumah tersebut.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Perabot-terpakai-dicat-semula-agar-tidak-kelhatan-usang.jpeg)
Warna kuning dilihat pada hiasan dinding, permaidani dan pencahayaan lampu, sementara warna hijau pula diserlahkan menerusi pokok-pokok artifisial yang diletak pada pelbagai sudut.
Gabungan warna hitam, coklat, kuning dan hijau dalam dekorasi rumah itu mencipta suasana yang seimbang antara elegan, semula jadi, hangat dan segar.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Ruang-tamu-merupakan-ruang-kegemaran-Riduan.jpeg)
Ia bertepatan dengan keinginan Riduan yang mahukan ruang yang moden tetapi tidak terlalu suram, bersemangat tetapi tetap harmoni.
Namun dedah anak jati Sungai Petani, Kedah itu, hiasan dalaman kediaman kedua miliknya itu tidak menggambarkan personalitnya yang lebih ceria dan happy go lucky.
“Mungkin bagi kebanyakan orang, hiasan dalaman mencerminkan keperibadian mereka kerana menghias rumah juga satu cabang ekspresi diri.
“Tetapi saya tidak begitu. Walaupun personaliti saya ceria, tapi saya suka keadaan rumah yang nampak klasik dan elegan,” ujarnya.