KUALA LUMPUR – Bagi mengenang jasa pemuzik Jay Jay, penyanyi Datuk Hattan mendedikasikan segmen khas buat arwah sahabat baiknya itu dalam Konsert Hitam Manis yang direalisasikan bersama Black Hanifah dan Hazama, semalam.
Menurut pemilik nama lengkap Mohd. Shukri Shahabudin, 61, itu, Allahyarham Jay Jay diibaratkan seperti mutiara industri seni yang banyak menyumbang tenaga dalam albumnya, Biso Bonar.
“Pada 5 Ogos lalu kita kehilangan pemuzik yang sangat hebat, namanya Mohd. Fauzi Darus atau lebih dikenali sebagai Jay Jay.
“Kebanyakan lagu-lagu saya dalam album Biso Bonar, abang Jay Jay yang main muzik.
“Jadi, kita memang kehilangan sebutir mutiara dalam industri seni,” katanya semasa Konsert Hitam Manis di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Pelantun lagu Mahligai Syahdu itu turut bersyukur dapat memberi khidmat terakhir buat penyanyi lagenda yang meninggal dunia pada 4 Ogos lalu apabila berpeluang memandikan jenazah.
“Abang Jay Jay merupakan insan yang sangat merendah diri. Saya bersyukur dapat mandikan jenazah selepas pemergiannya.
“Balu arwah juga berada di sini. Terima kasih Kak Zai sudi meluangkan masa bersama-sama kami,” ujarnya lagi.
Dalam segmen penghargaan itu, Hattan bersama Black dan Hazama membawakan lagu Rindu Bayangan dalam versi akustik.
Sepanjang persembahan, tayangan video memaparkan gambar Jay Jay turut dimainkan sekali gus menyentuh jiwa pengunjung yang hadir. -KOSMO! ONLINE