fbpx

Individu sertai himpunan di hadapan Penjara Sungai Buloh akan dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar himpunan oleh sekumpulan individu di hadapan Penjara Sungai Buloh semalam. Foto FB SUARAM.

SUNGAI BULOH – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang terlibat dalam himpunan mogok lapar di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kumpulan yang dipercayai terdiri daripada ahli keluarga banduan itu telah mengadakan himpunan terbabit bermula kira-kira pukul 8.10 pagi.

Jelasnya, siasatan awal mendapati tujuan himpunan tersebut diadakan adalah bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Pemantauan polis di lokasi mendapati kira-kira 40 hingga 50 peserta termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berkumpul sambil memegang plakad.

“Plakad berkenaan antaranya tertulis ‘tolong selamatkan suami saya dari Sosma’, ‘hapuskan Akta Sosma’, ‘bebaskan tahanan sosma’, ‘free sosma detainees! abolish sosma, we demand justice’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan penganjur himpunan boleh dikenakan denda RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.

“Semua individu dikenal pasti terlibat dalam himpunan ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

“Sebarang maklumat berkaitan himpunan ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurliyana Shariffuddin di talian 010-843 5654,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI