PEMINAT dunia permotoran pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti konvoi sebagai mengisi masa lapang.
Bahkan, aktiviti sedemikian juga merupakan platform untuk mengerat silaturahim sesama ahli kumpulan yang berkongsi minat sama.
Bagi Nur Afifah Harun, 32, atau dikenali sebagai Dinda Eyfa, kegilaan menyertai konvoi mendorongnya untuk mewujudkan geng motosikal wanita dikenali sebagai Women Riders Official.
Nur Afifah berkata, kumpulan itu dianggotai oleh peminat motosikal wanita dari seluruh Terengganu antaranya dari Kuala Terengganu, Dungun, Paka dan Kemaman.
Berkongsi tentang aktiviti konvoi yang sudah dijalankan, Nur Afifah berkata, setakat ini, mereka berkonvoi dari Terengganu menuju ke lokasi-lokasi berhampiran seperti Janda Baik dan Cherating di Pahang.
“Namun jika ada masa, kami berkonvoi ke lokasi yang sedikit jauh seperti Kuala Lumpur atau Negeri Sembilan.
“Begitu pun, bagi perjalanan jauh, ia akan dirancang lebih awal dan teliti.
“Ia bagi membolehkan ahli yang terikat dengan komitmen kerja untuk mengatur masa,” katanya kepada CitaRasa.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Nur-Afifah.jpg)
Women Riders Official yang ditubuhkan sejak 2014 kini mempunyai seramai 60 orang ahli berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Ujar Nur Afifah, mereka turut digelar geng RXZ kerana ahli-ahli kumpulan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dengan enjin dua lejang.
Baru-baru ini, kumpulan itu menganjurkan aktiviti konvoi santai ke kedai makan, Umi Nasi Lemak, Dungun untuk menikmati juadah king crab dan udang galah, sambil mengeratkan silaturahim.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-08-at-13.23.32-300x225.jpeg)
Memandangkan konvoi tersebut tidak melibatkan perjalanan jauh, maka mereka bertolak pada lewat petang dan pulang pada sebelah malam.
Bagi Nur Afifah, apa yang membuatkan dia tertarik untuk berkonvoi bersama rakan-rakan adalah untuk mengekalkan silaturahim sesama mereka.
“Kami semua datang daripada latar belakang berbeza, namun berjumpa dan berkawan kerana berkongsi minat sama.
“Malah, berkonvoi beramai-ramai juga cukup menarik kerana ia memberi kami satu nikmat apabila dapat melihat pemandangan cantik sepanjang laluan.
“Bagi saya, ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan memandu kereta.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-08-at-13.23.31-225x300.jpeg)
“Selain itu, konvoi ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami, kerana kami ini berpanas dan berhujan bersama,” katanya.
Tambah Nur Afifah, suaminya sesekali akan turut serta dalam aktiviti konvoi mereka kerana turut berkongsi minat sama.
Bahkan, pasangan itu kini mengusahakan perniagaan menjual barangan motosikal seperti topi keledar, baju dan sarung tangan sejak tahun 2018.