TEGUCIGALPA, Honduras – Seorang lelaki mengacukan sepucuk pistol dan mengancam untuk membunuh penumpang sebuah pesawat yang sedang terbang ke Roatan, Honduras, lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Satu rakaman video kemudian menjadi tular di media sosial yang menunjukkan insiden itu berlaku beberapa minit selepas pesawat tersebut berlepas.
Namun, lelaki berkenaan dapat ditangkap oleh kru kabin lebih awal sebelum ada penumpang yang cedera.
Susulan kekecohan itu, pesawat tersebut berpatah balik dan kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Toncontín di Tegucigalpa, ibu kota Honduras.
Anggota-anggota polis kemudian menaiki pesawat itu selepas ia mendarat semula di lapangan terbang dengan selamat.
Suspek kemudian ditangkap polis dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Setakat ini tidak diketahui bagaimanana suspek itu boleh membawa pistol di dalam pesawat tersebut yang nama syarikat penerbangannya tidak didedahkan. – AGENSI