IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menggantung sementara tugas empat imam yang dilaporkan tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada solat Jumaat, 31 Januari lalu.
Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd. Razak berkata, tindakan segera menerusi surat yang dikeluarkan pada 6 Februari lalu itu turut melibatkan sekatan elaun perkhidmatan keempat-empat imam berkenaan.
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima empat aduan melibatkan dua imam dari masjid di Teluk Intan dan masing-masing seorang imam dari Parit Buntar dan Kuala Kangsar.
“Tempoh gantung tugas ini bergantung kepada tarikh Jawatankuasa Tatatertib bersidang, kita jangka dalam masa dua minggu lagi.
“Jadi, kemungkinan awal Ramadan ini mereka akan bersidang bagi memutuskan sama ada imam terbabit akan ditamatkan perkhidmatan atau dikenakan tindakan tatatertib lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, antara alasan yang diberikan imam terlibat mengenai tindakan mereka tidak membacakan teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk adalah kerana tidak dapat membuka komputer untuk mendapatkan teks khutbah bagi minggu berkenaan.
Katanya, siasatan juga mendapati, imam tersebut masing-masing membacakan teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan teks khutbah JAIPk pada tahun 2023.
“Jawatankuasa Tatatertib akan pertimbangkan sama ada munasabah atau tidak alasan yang diberikan kerana kebanyakan alasan tidak boleh buka komputer untuk mendapatkan khutbah pada minggu itu,” katanya.
Beliau memaklumkan, isu berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat. – KOSMO! ONLINE