SHAH ALAM – Berlindung di dalam premis kedai dan keluar dari panggung wayang.
Itu antara situasi cemas ditempuh pengunjung sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, yang dikejutkan dengan insiden tembakan, malam tadi.
Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki cedera akibat ditembak suspek di kawasan tingkat bawah premis berkenaan.
Pengunjung wanita berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia bersama beberapa ahli keluarga sedang makan di sebuah kedai dalam pusat beli-belah itu, kira-kira pukul 9.45 malam.
“Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila mendengar bunyi tembakan dan segera keluar menyelamatkan diri.
“Pada waktu itu, saya melihat ada pengunjung lain turut berlindung dalam premis yang pintu pagarnya ditutup secara automatik,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pengunjung dikenali sebagai Nazeem, 30-an berkata, ketika kejadian dia sedang menonton wayang di tingkat atas premis berkenaan.
“Selepas hampir 30 minit, saya pelik apabila diarah bersama orang awam lain supaya segera keluar dari panggung.
“Saya kemudian dimaklumkan bahawa berlakunya insiden tembakan di pusat beli belah tersebut,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE