fbpx

Atasi akrofobia melalui aktiviti ‘zipline’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peserta mencuba aktiviti zipline di Zipline Adventure Shah Alam, Selangor.

FOBIA terhadap ketinggian yang dialami sesetengah individu bukan sesuatu yang direkayasa.

Apa yang pasti, mungkin individu terbabit mempunyai penyakit takut pada ketinggian atau nama lainnya adalah akrofobia.

Individu yang mengalami akrofobia biasanya berasa ketakutan, cemas dan panik yang tidak terkawal saat berada di tempat tinggi, meskipun situasi tidak berbahaya. 

Reaksi-reaksi lain yang akan muncul adalah gementar, dada berdebar, pening, berkeringat dingin, mual dan sesak nafas hingga boleh menyebabkan pengsan.

Menurut Pengarah Operasi Hikers Climber Adventure Team, Ahmad Nazri Ismail, adalah wajar untuk seseorang berasa takut jatuh dari tempat tinggi terutamanya apabila tiada jaminan keselamatan.

“Walaupun di tempat selamat, apakah yang perlu anda lakukan jika terdapat ketakutan berlebihan di tempat tinggi?

“Justeru, kita di Zipline Adventure Shah Alam (Selangor) memberi peluang kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk melakukan aksi zipline bagi mengatasi akrofobia dalam diri mereka. 

“Namun, golongan yang berpenyakit jantung tidak digalakkan sama sekali,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ahmad Nazri berkata, jika ibu bapa berasakan anak mereka mengalami akrofobia, aktiviti di situ merupakan salah satu langkah terbaik untuk ‘mengubatinya’.

PESERTA dipakaikan peralatan keselamatan sebelum melakukan aktiviti zipline.

Ujarnya lagi, dia akan melepaskan peserta yang ingin melawan akrofobia untuk menyertai aktiviti zipline setelah dirinya yakin individu terbabit benar-benar bersedia seratus peratus. 

“Kita akan memberi panduan menyeluruh dari segala aspek termasuk keselamatan kepada peserta.

“Apa yang penting, fokus kita adalah untuk mengenal pasti tahap akrofobia dalam diri seseorang untuk memastikan aktiviti zipline menjadi pengalaman berharga,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengalamannya dalam aktiviti zipline, Nazri berkata, aktiviti mencabar adrenalin itu adalah rutin bagi pencinta sukan lasak.

“Peristiwa peserta zipline tersangkut semasa melakukan aktiviti boleh berlaku akibat masalah teknikal.

“Namun, tindakan pantas diambil bagi mengatasinya. Cuma apabila ditularkan insiden sedemikian, ia mengundang pelbagai persepsi tidak enak,” katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya akan menerangkan kualiti peralatan dari aspek ketahanan dan menjelaskan kepada peserta bahawa aktiviti tersebut dikendalikan oleh individu terlatih serta berpengalaman.

REAKSI teruja jelas terpancar pada wajah salah seorang peserta (kiri).

“Jika peserta berani dan rela melakukan aktiviti ini, kita akan teruskan, jika tidak mereka boleh batalkan sahaja. 

“Sebab itu tagline kita, ‘Takluki Rasa Takut Anda’ atau Conquer Your Fear.

 

“Jika saya mengadakan program motivasi, zipline kita akan adakan sebagai salah satu aktiviti.

“Modul ini sesuai untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi meningkatkan jati diri dan semangat dalam kalangan belia,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai zipline dia berkata, terdapat peserta kini menjadi ‘pemain’ tegar aktiviti itu setelah berjaya menghilangkan akrofobia mereka.

“Itu sebab saya kata, dengan kekuatan mental dan fizikal dibantu oleh operator aktiviti ekstrem bertauliah, kita mampu menukar ketakutan menjadi keseronokan.

“Tambah pula, aktiviti ini sesuai untuk seisi keluarga. Malah, ia mampu memantapkan hubungan antara satu sama lain,” jelasnya.

Waktu operasi Zipline Adventure Shah Alam adalah setiap hari kecuali Isnin. 

Waktu operasi Zipline Adventure Shah Alam bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

“Bagi Sabtu dan Ahad pula, kami buka dari pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang. Bayaran RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI