KLUANG – Seorang wanita bersama bayi dalam kandungan maut selepas kereta dipandu terbabit dalam kemalangan di Lorong Mohd. Salim 1, Kampung Melayu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Siti Aisyah Harun, 32, hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok rumah.
Katanya, pada pukul 4.11 petang tadi pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak dalam kandungan Siti Aisyah berusia 35 minggu meninggal dunia pada pukul 8 malam tadi.
“Siti Aisyah yang juga kakak pengadu turut meninggal dunia pada pukul 2 petang tadi ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang,” katanya.
Seorang lagi penumpang, Siti Aishah Rahimi, 28, yang berada dalam kereta sama hanya cedera ringan di lengan kiri selain luka di dahi kanan. – KOSMO! ONLINE