fbpx

‘Tua, berkerusi roda bukan sakit tapi ikut kehendak watak!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARA-GARA memenuhi watak dalam video muzik Lelaki Gila, heboh Azwan Ali kini sakit hingga terpaksa berkerusi roda.

SUNGAI BULOH – Masih sihat dan bertenaga, pengacara Azwan Ali berang apabila dituduh sakit kerana tampil dengan imej tua serta berkerusi roda dalam video muzik Lelaki Gila nyanyian Naim Daniel.

Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali, 60, menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, selain menyelar netizen yang mudah terpengaruh tanpa berfikir panjang.

“Tolonglah jangan mengecam saya. Kalau saya tua dan sakit, saya memang akan guna kerusi roda. Tapi itu semua lakonan.

“Bezakan realiti dan seni. Jangan main tuduh orang sesuka hati. Saya terkilan sebab ada yang percaya bulat-bulat sehingga timbul gosip saya sakit.

“Nampak tak kesannya? Bila netizen main serkap jarang, ramai mula bertanya betul ke saya tak sihat?,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pun begitu, Azwan yang mesra disapa Diva AA itu melihat situasi sedemikian sebagai kejayaan produksi yang berjaya ‘menuakan’ wajahnya dengan solekan dalam video muzik terbabit.

“Mereka yang timbulkan isu, ‘eh, tuanya kau’. Itu bukti hasil kerja hebat pasukan produksi.

“Mekap menjadikan saya tua. Saya berlakon ikut kehendak watak yang perlu berkerusi roda, bukan kerana sakit.

“Ramai kata saya uzur, saya tua tapi hakikatnya saya masih sihat, masih aktif. Ya, saya mencecah 60 tahun, tapi saya tetap bangga. Semua orang pun akan tua! ,” jelasnya pada sidang media pelancaran single Naim Daniel dan Dalia Farhana, di sini, semalam.

Diminta mengulas kemungkinan netizen hanya prihatin terhadap keadaannya, Azwan menegaskan ada perbezaan antara prihatin dan menabur spekulasi.

“Kalau betul ‘concern’, mereka boleh bertanya, ‘Azwan, awak okey?’ Itu beza dengan terus buat kesimpulan, ‘dia dah tua, sekarang guna kerusi roda’.

“Tua dalam video muzik itu hasil kerja mekap, bukan realiti. Tolonglah netizen, hati-hati sebelum bercakap benda viral,” tegasnya.

Terdahulu, teaser video muzik Lelaki Gila nyanyian Naim Daniel memaparkan Azwan Ali dalam imej berusia dan berkerusi roda tular dalam media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi kononnya dia tidak sihat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI