WASHINGTON – Presiden Donald Trump marah berhubung pengunaan penyedut minuman atau straw kertas mesra alam yang dipromosikan oleh pendahulunya, Presiden Joe Biden, lapor portal berita Channel News Asia hari ini.
Trump berikrar Amerika Syarikat (AS) akan kembali menggunakan straw plastik berbanding penyedut minuman daripada kertas yang tidak digemari oleh ramai pengguna.
“Saya akan menandatangani perintah eksekutif minggu depan bagi menamatkan desakan Biden yang tidak masuk akal untuk straw kertas. Kembali kepada straw plastik,!” katanya di media sosial
Sebelum ini, Biden daripada Parti Demokrat mengumumkan sasaran untuk menghapuskan penggunaan plastik sekali pakai seperti penyedut minuman menjelang 2035.
Trend penggunaan penyedut minuman kertas telah lama membuatkan Trump menjadi marah.
“Mereka mahu mengharamkan straw. Adakah sesiapa yang mencuba straw kertas itu?”
“Straw itu hancur apabila anda menggunakannya dalam minuman,” kata Trump ketika kempen pilihan raya Presiden 2020 menentang Biden.
Pasukan kempen Trump sebelum ini menjual straw minuman plastik yang berjenama.
Presiden AS itu turut menganggap ancaman perubahan iklim sebagai satu penipuan dan sering mengkritik kenderaan elektrik walaupun bersekutu rapat dengan ketua Tesla, Elon Musk. – AFP/AGENSI