KUALA LUMPUR – Pelakon seberang, Nita Gunawan mendedahkan hijabnya terbuka sejak kecil sekali gus dikurniakan keistimewaan mampu melihat makhluk halus termasuk hantu.
Nita, 34, berkata, dia sudah terbiasa melihat hantu dan itu bukan lagi satu masalah buatnya untuk meneruskan kehidupan seperti manusia lain.
“Dari kecil sudah boleh lihat (hantu). Dulu saya nampak pocong, genderuwo dan kuntilanak.
“Tak rasa takut sebab memang sudah biasa. Bahkan sampai sekarang masih boleh lihat. Kalau rasa macam ada benda halus, saya lagi rasa ingin tahu,” katanya pada malam tayangan perdana filem lakonannya, Anak Kunti baru-baru ini.
Dedah Nita lagi, keluarganya pernah berusaha untuk menutup hijabnya ketika kecil namun menemui jalan buntu. Justeru, dia terpaksa hidup dengan keistimewaan itu sehingga hari ini.
“Dalam keluarga saya seorang sahaja yang ada ‘benda’ ini. Waktu kecil, mak sudah berikhtiar untuk tutup hijab namun tidak berjaya.
“Masa kecil saya selalu histeria sebab tak boleh kawal. Lama-kelamaan, saya putus asa untuk berubat. Jadi biarkan saja, kita teruskan hidup,” katanya lagi.
Memainkan watak kuntilanak dalam filem Anak Kunti, Nita berkata, dia diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem arahan Sutradara Bambang Drias itu.
“Ada nampak lembaga seperti nenek tua. Wajahnya pucat dan menakutkan. Saya tanya orang kampung, mereka kata di sana memang penunggunya nenek nenek.
“Bukan hanya saya nampak lembaga itu tetapi pelakon yang menjayakan karakter Idris dan Karyo juga nampak,” ujar Nita.
Anak Kunti edaran ST Media dengan kerjasama Drias Film Production bakal ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 20 Februari ini serentak tayangan di Indonesia.
Naskhah berkenaan turut dibarisi pelakon hebat lain termasuk Gisellma Firmansyah, Abun Sungkar, Jajang C Noer, Iwa K, Wavi Zihan dan Ruth Marini. – KOSMO! ONLINE