fbpx

Rexy kritik cadangan mengarut BWF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY (kanan) mendakwa perubahan 15 mata boleh mengakibatkan pemain hilang konsistensi. - SHIDDIEQIIN ZON

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengkritik cadangan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengubah sistem pemarkahan daripada format 21 mata kepada 15 mata.

Menurut Rexy, perubahan itu dilihat tidak membawa manfaat besar kepada sukan badminton, malah boleh mengganggu konsistensi permainan dan prestasi pemain.

“Saya rasa sistem 21 mata sudah bagus. Buat apa nak tukar lagi? Selama ini, perubahan demi perubahan hanya menyebabkan kekeliruan. Sekarang mahu tukar pula kepada 15 mata,” kata Rexy.

Beliau turut mempersoalkan rasional BWF yang kerap mengubah format permainan dengan alasan untuk meningkatkan tontonan televisyen.

“Kalau nak buat sukan lebih menarik, bukan dengan menukar sistem pemarkahan semata-mata. Tengok tenis, perlawanan boleh berlangsung selama enam hingga sepuluh jam, tetapi penonton masih setia menonton. Masalahnya bukan pada sistem mata,” katanya.

Rexy berkata perubahan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek yang lebih penting seperti pembangunan pemain dan memastikan kejohanan terus relevan, bukannya sekadar mengejar jumlah tontonan.

Mengulas mengenai persiapan ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025, Rexy berkata fokus utama adalah membina motivasi dalam kalangan pemain untuk menghadapi cabaran Hong Kong dan Indonesia dalam acara berpasukan.

“Yang penting, kita motivasi pasukan. Jangan terlalu fikir tekanan berdepan lawan seperti Indonesia. Kita perlu fokus kepada apa yang kita boleh kawal dan bagaimana untuk mengambil mata penting,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI