HIDUP ini datang sekali bersama pilihan. Untuk itu, menjadi pilihan hati kecil ini untuk menyifatkan album terbaharu Alyph berjudul The Storm sebagai antara pekerjaan terhebatnya sepanjang bergelar seorang pemuzik.
Sebagai seorang pencinta muzik yang tiada bersempadan, ada ruang atau bahagian kecil dalam diri untuk muzik R&B mendamaikan daripada Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah.
The Storm memuatkan 12 trek yang kesemuanya diadun dengan stail tersendiri penuh signatur, melodi yang ranggi namun pada masa sama menenangkan dan semestinya, nukilan lirik yang sangat ‘straightforward’ atau berterus-terang.
Tidak banyak berbasa-basi, nuansa album The Storm dibuka dengan indah menerusi trek nombor satu berjudul Teman (feat. Ziana Zain).
Sejujurnya, lagu ciptaan sepenuhnya Magic Potions itu merupakan pembuka yang sewajarnya untuk The Storm. Ribut tak semestinya terus menerjah berdentam-dentum, adakalanya lumrah alam itu datang senyap-senyap dengan aman seperti lagu Teman.
Trek kedua berjudul Red Flags merupakan antara kegemaran penulis. Komposisi atau gubahan muzik karya tersebut kedengaran sangat moden dan ‘right now’ dipasakkan sekali dengan bait-bait lirik yang tidak asing di telinga masyarakat sekarang.
Red Flags barangkali antara gabungan perkataan yang sinonim di halwa telinga ramai terutama dalam pada dunia media sosial kini cukup berkembang pesat. Siapa-siapa sahaja boleh dicop sebagai ‘red flag’ andai tersilap langkah mempromosi diri.
Sangat ‘right now’
Satu-satunya kritikan penulis terhadap Red Flags mungkin adalah durasi lagu tersebut terlalu pendek. Kurang dua minit. Mungkin target lagu untuk generasi TikTok, tapi sebagai anak milenial, baru nak nikmati korus tup tup sahaja sudah sampai ke penghujung lagu.
Trek ketiga berjudul Saham Naik selayaknya dijadikan single untuk The Storm. Hadirkan bersama video muzik (MV) dan boom, Alyph, anda baru sahaja menhadirkan pilihan single yang tepat untuk peminat.
Saham Naik kedengaran sangat moden dan cukup komersial untuk menempah kejayaan sepertimana Swipe ‘mendonia’ sekitar dua tahun lalu.
Nukilan lirik Saham Naik sangat ringkas ada adakalanya banyak pengulangan tapi itulah yang dimahukan untuk sebilangan pendengar zaman sekarang.
Instrumen
Untuk penulis secara peribadi, instrumen yang digunakan dalam lagu tersebut sangat mengena dan andai dipromosikan dengan gaya, tidak mustahil lagu ini akan menjadi satu lagi hit Alyph.
Cukup tiga lagu diulaskan, selebihnya The Storm boleh didengari menerusi platform muzik seperti Apple Music, iTunes dan Spotify.
Cuma seperkara lagi, penulis juga mempunyai satu lagu trek kegemaran iaitu berjudul Ingat. Lagu ini sangat easy-listening dan merupakan antara yang paling mudah melekat dalam minda penulis.
Ada ‘vibe’ Post Malone ketika era Sunflower dan penulis tiada rungutan langsung tentang perkara terbabit. Dari segi nukilan lirik, seperti biasa, tulisan Alyph sangat ‘straightforward’ umpama apa yang dilontarkan dalam lagu ini, dibutirkan secara freestyling.
Keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan peluncuran The Storm oleh Alyph.
Diskografi ini sangat kohesif dan terus melekatkan nama anak Singapura ini bahawa dia memang seorang ‘hitmaker’ dan tiba masa dia berjeda, berhenti menerbitkan kerja orang lain dan fokus pada diri sendiri. Bravo, Muhammad Alif Abdullah!
Album: The Storm Artis: Alyph Sumber: Universal Music Bintang: ★★★★