SEBERANG PERAI – Produk air berkarbonat yang diedarkan di Malaysia tidak terjejas dengan pencemaran klorat seperti yang dilaporkan berlaku di Belgium, Luxembourg, United Kingdom (UK) dan Belanda.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan maklum balas daripada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, produk keluaran syarikat Coca-Cola Europe Pacific Partners itu hanya dikesan diedarkan di beberapa negara Eropah buat masa ini.
“Jadi, ia bukan fenomena global. Mungkin ada berkait rapat dengan isu rantaian bekalan ‘batch-batch’ (kumpulan) atau konsainan tertentu, Bagaimanapun Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan berwaspada,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa KKM menguji minuman ringan berkarbonat di pasaran tempatan susulan kebimbangan pencemaran klorat yang dikesan dalam beberapa produk di Eropah baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE