fbpx

‘Lama saya murung, menangis dalam bilik air takut suami tahu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENJADI impian Ning berkongsi momen dan menanam semula ingatan ibu yang telah nyanyuk bahawa dia seorang penyanyi berjaya di Malaysia. Dia mahu ibunya Satilah Abdulah menikmati momen itu dalam persembahan akhirnya menerusi final Gegar Vaganza musim ke-11 malam esok.

HASRAT Ning Baizura cuma bersandarkan satu niat. Penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) hanya bertitik tolak daripada rasa mahu menggembirakan wanita teragung dalam hidupnya, Satilah Abdullah.

Pada usia mencecah 81 tahun, ibunya sudah kurang daya ingatan akibat demensia atau nyanyuk, namun semangat ditunjukkan menyuntik kekuatan buat Ning.

Pejam celik, rupa-rupanya sudah tiga tahun wanita itu didiognosis mengalami dimensia tahap pertama apabila ada menunjukkan tanda-tanda kemerosotan ingatan.

Bercerita kisah lama, awalnya pemilik nama lengkap Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, reda dan menerima keadaan ratu hatinya yang kadangkala cepat beremosi dan mudah terlupa.

NING mengakui hidup dalam tekanan, berasa sukar dan kemurungan apabila ibunya disahkan berada dalam fasa awal demensia atau nyanyuk.

Tekanan

Kesabarannya bagaimanapun teruji apabila wanita kesayangannya itu mula berubah sikap menjadi cepat marah. Situasi itu secara tidak langsung menjejaskan kesihatan mental Ning.

“Dari segi luaran memang ibu saya masih kuat, boleh ‘briskwalk’ setiap petang dan aktif walau kudrat tidak setangkas dahulu tetapi perasaannya mudah terguris dan cepat marah.

“Mungkin waktu itu saya belum dapat rentak untuk meredakan situasi selain saya sendiri terbawa-bawa perasaan yang membuatkan saya turut diserang kemurungan.

“Mujur saya cepat cari penyelesaian dengan nasihat suami, saya berjumpa kaunselor bagi mendapatkan rawatan dan nasihat. Alhamdulillah, sabar dan ikhtiar membuahkan hasil,” katanya kepada HibGlam.

Akui pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu, bukan mudah untuk mengakui diri sendiri berdepan tekanan perasaan jika tanpa sokongan insan terdekat iaitu suaminya, Omar Shariff Dalton dan anak tunggal mereka, Ryan Sky Dalton, 12.

Keadaannya bertambah tenang apabila mengikuti saranan doktor dan meluangkan masa bersama si ibu melakukan aktiviti harian.

“Lama juga saya murung, menangis sendirian dalam bilik air takut suami tahu, berasa serba tak kena selain ‘sama naik’ apabila cepat marah tetapi akhirnya saya sedar, sampai bila mahu jadi begitu, bagi impak buruk terhadap orang yang saya sayang.

“Hampir setahun juga perkara sebegini berlarutan sebelum saya meminta bantuan pakar hasil dorongan suami. Saya belajar bersabar, jadi saya peruntukan masa lebih dengan ibu, duduk buat kraf, melukis dan sebagainya.

“Hakikatnya menjaga ibu ketika dia melalui fasa getir adalah rezeki buat kami anak-beranak.

“Dahulu ibu tak mengeluh menjaga saya, kenapa pula saya rasa sukar apabila diuji sebegini? Alhamdulillah, semuanya semakin lancar,” ujar penyanyi bermata galak itu.

Mengimbas momen bersama wanita merangkap pengurusnya dahulu, perjuangan sebagai anak seni yang kini sudah memasuki tahun ke-32 bertitik-tolak daripada dorongan ibu seawal usianya sembilan tahun.

Ketika ibunya memerlukan perhatian intensif, sokongan keluarga, terutama suami dan anak menjadi penguat semangat Ning meneruskan perjuangan dalam GV11. – IQBAL ROSLI

Ibu jual kuih

Wajah sebaknya tidak mahu disembunyikan saat mengenang pengorbanan si ibu yang melakukan pelbagai kerja demi biaya kelas vokal dan belajar muzik.

“Ibu tak tahu duduk diam demi memastikan saya dapat belajar bermain biola dan ke kelas vokal. Impiannya mahu saya bergelar penyanyi rakaman.

“Saya masih ingat dia buka kelas tuisyen di rumah dari Jumaat sehingga Ahad selain terima tempahan kuih-muih atau roti. Memang sibuk sebab dalam masa sama dia juga mengajar bahasa Inggeris dan muzik di sekolah rendah.

“Nampak kegigihan ibu membanting tulang sampai tiada rehat, bahkan dia turun mengorbankan kerjaya serta cita-cita menyambung pengajian ke peringkat sarjana untuk bergelar pensyarah demi karier nyanyian saya. Itu pengorbanan terbesarnya,” ulas Ning.

Besar harapan Ning, wanita tersanjung itu akan dapat menikmati momen indah melihat persembahan akhirnya dalam final GV11 malam esok.

“Sepanjang bertarung dalam GV memang masa saya sangat terhad bersamanya. Apabila ada waktu senggang kami akan keluar dan luangkan masa bersama.

“Apabila sudah menjadi seorang emak dan anak pula semakin membesar, baru saya sedar perasaan seperti kehilangan apabila permata hati sibuk dengan urusan sendiri walhal itu hanya tanggapan kita.

“Apa pun saya yakin ibu bangga dengan penyertaan saya dalam GV ini,” ujarnya.

Soal menang atau kalah, Ning berasakan dirinya bertuah dapat bersama rakan seperjuangan mengutip pengalaman bertemu penyokong setia dan peminat baharu asbab penyertaan dalam GV11.

NING berharap persembahan di pentas final GV11 malam esok menjadi momen terindah untuk dikongsikan dengan ibu yang semakin lupa bahawa anak perempuannya itu seorang penyanyi seperti diimpikan sejak lama dahulu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI